章程


Fasal 8 JAWATANKUASA

Fasal 8.1
Satu jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Pertubuhan hendaklah dipilih tiga tahun sekali di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:

Seorang Pengerusi
Seorang Naib pengerusi
Seorang Setiausaha
Seorang Penolong Setiausaha
Seorang Bendahari
Seorang Naib Bendahari
Seorang Ahli Jawatankuasa Biasa

Fasal 8.2
Pemegang-pemegang jawatan Pertubuhan ini dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Pertubuhan ini hendaklah terdiri dari Warganegara Malaysia.

Fasal 8.3
Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan ahli jawatankuasa akan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap penggal (Satu penggal untuk 3 tahun). Tetapi Jawatan Pengerusi tidak boleh dilantik oleh orang yang sama secara terus menerus sebanyak 3 penggal, iaitu 9 tahun.

Fasal 8.4
Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Pertubuhan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Pertubuhan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh mesyuarat agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan mesyuarat agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan mesyuarat agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.
Fasal 8.5
Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

Fasal 8.6
Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari ahli-ahli jawatankuasa secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima:

(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa;
(b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

Fasal 8.7
Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

Fasal 8.8
Jika seorang ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, maka berkuasalah Jawatankuasa untuk melantik ahli yang lain bagi memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

Fasal 8.9
Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan Pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Pertubuhan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Pertubuhan.

Fasal 8.10
Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa.